Ahad, 23 Januari 2011

Bagaimana Bersuci Bagi Pesakit Yang Berbalut Anggotanya?

Seorang isteri yang solehah telah menelefon suaminya bagi menyelesaikan satu permasalahan hukum Fikah berkaitan dengan wudhuk dan mandi bagi seseorang yang berbalut anggota badannya. Ikuti perbincangan mereka berdua :

Ummu Muhammad : Assalamualaikum abang.

Abu Muhammad : Waalaikumussalam sayangku ( sambil tertawa kecil ).

Ummu Muhammad : Abang, saya ingin menyampaikan hajat seorang sahabat yang ingin mendapat penjelasan hukum daripada abang berkenaan dengan hukum berwudhuk dan mandi wajib bagi seseorang yang berbalut anggota badannya.

Abu Muhammad : Oh begitu. Sebelum itu sebaiknya sayang bertanya dulu kepada sahabat tersebut adakah bermasalah jika dia membuka balutan tersebut atau tidak? Jika bermasalah dan akan menimbulkan mudharat maka tidak perlu bagi dia membuka balutan tersebut. Namun jika tidak bermasalah, maka wajib baginya untuk membuka balutan tersebut.

Ummu Muhammad : Nanti saya akan tanyakan ye abang. Cuma kalau dia tidak dapat membuka balutan tersebut bagaimanakah caranya untuk dia berwudhuk dan mandi?

Abu Muhammad : Baik, abang akan terangkan dulu cara bagaimana untuk sahabat sayang berwudhuk. Caranya mudah sahaja. Sebelum itu abang ingin bertanya, bahagian anggota badan yang mana yang berbalut itu?

Ummu Muhammad : Bahagian kaki kanan.

Abu Muhammad : Semoga Allah taala akan menyembuhkan dengan segera kaki tersebut. Cara berwudhuk bagi sahabat tersebut adalah seperti biasa iaitu dengan memulakan niat berwudhuk kemudian membasuh muka, membasuh kedua tangan dan membasuh kepala. Bilamana sampai di kaki kanannya maka dia perlu bertayammum bagi menggantikan anggota yang berbalut tersebut. Cara bertayammum adalah seperti biasa iaitu dengan menyapu muka dan tangan sehingga ke siku dengan tanah yang suci. Setelah selesai bertayammum maka dia perlu membasuh anggota kaki yang tidak berbalut dan jangan lupa untuk menyapu air di atas tempat yang berbalut tersebut. Selesai perkara tersebut barulah dia dibenarkan untuk membasuh kaki kirinya bagi menyelesaikan wudhuk.

Ummu Muhammad : Oh begitu ya. Cuma tadi abang ada katakan bahawa setelah bertayammum maka pesakit tersebut perlu membasuh anggota yang tidak berbalut dan menyapu di atas bahagian yang berbalut tersebut. Bagaimana gambarannya ya?

Abu Muhammad : Begini contohnya jika yang patah itu adalah bahagian tumitnya. Maka jika bahagian yang berbalut itu adalah bahagian tumit sahaja , wajib bagi pesakit tersebut untuk membasuh bahagian yang tidak berbalut seperti jari kaki dan tapak kakinya yang tidak berbalut dan kemudian menyapu air di atas balutan tumit tersebut.

Ummu Muhammad : Tetapi abang, kebanyakkan hospital pada zaman sekarang akan membalut lebih daripada bahagian yang patah. Kalau bahagian yang patah tersebut adalah tumit, yang dibalutnya adalah seluruh kaki tersebut.

Abu Muhammad : Iya tak ya juga .. hehe.. Maka jika keadaan sebegini , apa yang perlu bagi si pesakit tersebut adalah dengan bertayammum seperti yang diterangkan sebelum ini dan kemudian menyapu di atas kaki yang berbalut tersebut dengan air.

Ummu Muhammad : Oh begitu. Kemudian abang, bagaimana pula caranya untuk mandi wajib?

Abu Muhammad : Caranya juga mudah. Ambil air dan tuangkan di atas kepala . hehe.. Bergurau sahaja. Pesakit tersebut boleh memilih sama ada ingin mendahulukan mandi atau bertayammum. Afdhalnya( yang terbaik ) seperti yang diterangkan oleh para ulama ialah dengan mendahulukan tayammum bagi menggantikan tempat yang berbalut tadi. Kemudian mandi seperti biasa. Jika bahagian yang berbalut tersebut .

Ummu Muhammad : Boleh abang terangkan , adakah perlu bagi pesakit tersebut untuk mengulangi semula berwudhuk jika dia ingin menunaikan solat fardhu yang lain selepas itu?

Abu Muhammad : Bagus soalan ini. Jika si pesakit telah berwudhuk untuk menunaikan solat pada waktu zohor. Bilamana masuk waktu asar wudhuknya masih lagi kekal dan tidak batal. Maka apa yang perlu baginya ialah hanya bertayammum. Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi al-Imam al-Nawawi rahimahullah. Ini bermaksud selagi mana dia tidak melakukan perkara yang membatalkan wudhuk maka setiap kali masuk waktu solat yang baru samada asar, maghrib atau isya’ , apa yang perlu dilakukan olehnya hanyalah bertayammum sahaja dan tidak perlu mengulangi wudhuknya. Tetapi jika wudhuknya telah batal, maka wajib baginya mengulangi sepertimana yang diterangkan sebelum ini.

Ummu Muhammad : Begitu caranya ye. Bagaimana pula dengan permasalahan qada’ bagi solat pesakit tersebut setelah dia sihat kelak? Adakah perlu baginya untuk menggantikan semula solatnya setelah dia sihat?

Abu Muhammad : Permasalahan ini agak terperinci. Perlu bagi sayang untuk memahaminya dengan baik.

Pertama : Perlu dilihat sama ada pembalut tersebut dibalut pada anggota tayammum atau tidak. Anggota tayammum adalah muka dan kedua tangan sampai ke siku. Jika bahagian balutan tersebut adalah pada anggota tayammum, maka wajib bagi pesakit tersebut untuk mengulangi atau menggantikan semula solatnya setelah sihat kelak.

Kedua: Jika pembalut tersebut bukan pada anggota tayammum iaitu selain daripada muka dan tapak tangan maka perlu diperhatikan sama ada yang berbalut tersebut adakah sekadar kawasan luka atau melebihi kawasan luka.

Jika kawasan yang berbalut tersebut hanya sekadar kawasan yang luka atau patah, maka wajib bagi pesakit tersebut untuk membasuh bahagian yang tidak berbalut dan bertayammum bagi menggantikan kawasan yang luka dan disunatkan bagi pesakit untuk menyapu di atas kawasan berbalut tersebut dengan tanah. Jika begini keadaannya , maka pesakit tersebut tidak perlu menggantikan atau mengulang semula solatnya setelah dia sihat kelak.

Manakala jika kawasan yang berbalut tersebut adalah melebihi kawasan yang luka atau patah, seperti keadaan yang berlaku kepada sahabat yang sayang ceritakan kepada abang, maka ada dua gambaran yang boleh kita berikan :

Pertama: Jika kawasan yang melebihi tersebut adalah sekadar untuk menguatkan pegangan balutan tersebut , dan sebelum diletakkan balutan tadi pesakit telah bersuci iaitu dengan berwudhuk, maka di dalam keadaan ini pesakit tersebut tidak perlu untuk mengulang atau menggantikan semula solatnya setelah dia sihat kelak. Tetapi jika diletakkan balutan tersebut dalam keadaan pesakit tadi tidak berwudhuk terlebih dahulu maka wajib baginya untuk mengulangi atau menggantikan semula solatnya setelah dia sihat kelak.

Kedua : Jika kawasan balutan itu melebihi kadarnya , contohnya seperti bahagian yang patah hanyalah ibu jari kaki, manakala yang dibalut dengan simen adalah sampai ke betisnya. Maka ini dikira melebihi kadar yang sepatutnya. Jika begini keadaannya, maka pesakit tersebut wajib mengulangi atau menggantikan semula solatnya selepas sihat kelak sama ada simen tersebut diletakkan setelah dia berwudhuk atau tidak.

Namun, abang lebih suka untuk mengambil pandangan al-Imam al-Nawawi rahimahullah yang mana beliau juga mengambil pandangan al-Imam al-Muzani rahimahullah yang mengatakan bahawa orang yang dibalut anggotanya tidak perlu untuk mengulangi semula solatnya walau bagaimana keadaan sekalipun pesakit tersebut.

Ummu Muhammad : MasyaAllah, mudahnya Islam kan bang?

Abu Muhammad : Ya, Islam itu mudah sekali untuk diamalkan, namun yang sukarnya adalah bagi mengeluarkan hukum yang terdapat di dalamnya. Oleh sebab itulah kita perlu berpegang dengan pandangan para ulama yang memahami bagaimana cara mengeluarkan hukum daripada nasnya.

Ummu Muhammad : A’a bang, ramai sangat zaman sekarang nie yang menyalahgunakan istilah “ Islam itu mudah” dengan mengatakan bahawa mengeluarkan hukum di dalam Islam juga mudah. Sedangkan maksud sebenar Islam itu mudah ialah mudah untuk diamalkan kerana wujudnya para ulama ummah yang bertungkus lumus memahamkan ummah hukum hakam agama. Semoga ilmu abang akan semakin bertambah dan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabb.

Abu Muhammad : Amin Ya Rabb. Jaga diri baik-baik sayangku. Assalamualaikum.

Ummu Muhammad : Waalaikumussalam abang.

p/s: Dialog di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati. Sekadar untuk memudahkan kefahaman kita bersama.hehe.

Rujukan:

1. Taqrirat Sadidah Fi Masa’il Mufidah oleh al-Syaikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf , Cetakan ke 4 tahun 2006 Darul al-Mirath al-Nabawi

2. Mughni al-Muhtaj oleh al-Imam al-Allamah Syamsuddin Muhammad bin Khatib al-Syirbini rahimahullah , Juzuk 1, Darul Makrifah Beirut

3. Mawahib al-Somad Fi Halli Alfadz al-Zubad oleh al-Imam al-Allamah Ahmad bin Hijazi al-Fashni rahimahullah , cetakan Darul Basyair al-Islamiyah dan Maktabah Darul Fajr.


KLIK

Jumaat, 14 Januari 2011

Anak-anak Iblis

Berkata Al-Qurasyi, telah berbicara kepadaku Bisyr bin Al-Walid Al-Kindi, berbicara kepadaku Muhammad bin Talhah, daripada Zaid bin Mujahid, katanya : Iblis mempunyai 5 orang anak, lalu ditetapkan setiap anak dengan satu tugas untuk menjaga urusannya. Kemudian dinamakan anak-anak itu seperti berikut : Tsabar, Al-A'war, Masuth, Dasim dan Zaknabur.

Tugas-tugasnya adalah

Tsabar > mengendalikan orang-orang yang ditimpa musibah, lalu dia membisikkan kepadanya supaya bersedih hati, yang membawa kepada mengoyak pakaian, memukul-memukul pipi dan badan, menjerit melolong sebagaimana yang dibuat orang-orang jahiliah

Al-A'war > menggoda orang supaya melakukan zina, perbuatan keji yang dikutuk oleh Allah dengan memperindahkannya kepada manusia.

Masuth > menyebarkan dusta daripada seorang kepada orang lain dengan menyampaikan berita-berita palsu, sehingga seorang yang lain mendatangi kumpulan orang ramai seraya berkata " Aku lihat seorang mengatakan begini dan begitu kepada kamu, aku kenal rupanya tetapi tidak kenal namanya.

Dasim > menbuat fitnh antara suami dan isterinya, cuba mendedahkan keaiban masing-masing dan mengungkit-ngungkit perkara yang boleh menyebabkan marah dan berselisih faham.

Zaknabur > mengganggu orang-orang yang di pasar, dia mencacak benderanya di situ, yakni membuat angkara antara orang yang berjual beli..

Rujukan :- Belitan iblis terjemahan dari TALBIS IBLIS karangan Ibnu Qayyim, penterjemah Syed Ahmad Semait(1994)

Moga ada manfaatnya.

Saat perkenalanku dengan dia/Dia (2)

Klik

Maya melangkah longlai ke tempat mengambil wudu' sebaik sahaja ust Amin selesai memberikan kuliah. Fikiran Maya keliru antara iman dan nafsu. Sebaik selesai mengambil wudu' Maya berdoa "Ya Allah sekiranya hatiku berkata benar, permudahkanlah aku menuju cintaMu, sekiranya hatiku membisik kata dunia, Kau jauhkan aku dari jalannya".

Iqamah dari bilal sayup kedengaran di telinga Maya, dia rasakan bahawa satu semangat baharu telah muncul di dalam dirinya,gengaman tekad yang menggunung dan cita-cita bagaikan api yang menyala membuatkan semangat Maya berkobar-kobar untuk merialisasikan niatnya itu..

"Astaghfirullah, kenapa aku ni? kain sejadah dihadapan sempat lagi otakku melayang. Astaghfirullah......" Maya dengan lemah lembutnya menuntun hati menghina diri mengesakan Illahi..Allahu akhbar..

Selesai imam berdoa, Maya memanjangkan doanya dari jemaah yang lain oleh kerana dia mahu mencari kekuatan diri bagi menghadapi keputusan yang akan dibuatnya nanti. Terlalu kusyuk Maya berdoa sehinggakan apabila selesai berdoa Maya berpaling ke belakang dan melihat tiada seorang pun jemaah yang lain,kesemuanya sudah kembali ke bilik masing-masing. Maya terus bergegas untuk pulang ke biliknya, akan tetapi beliau terfikirkan kepada seorang kakak yang dikenalinya sewaktu minggu orentasi, lalu Maya dengan penuh semangat melangkahkan kaki ke bilik kakak yang baginya merupakan seorang yang layak dihormati oleh kerana kesopanan, kelembutan, kasih sayang yang dipamerkan dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, k.jan ada kat rumah, sungguh Allah permudahkan urusanku". Kedatangan Maya menjadi tanda tanya bagi k.Jan yang sudah lebih seminggu mereka tidak bersua.

"Assalamualaikum, akak sibuk tak?", sapa Maya sambil mereka bersalaman.

"Waalaikumussalam, Alhamdulillah sekarang akak tak sibuk, kaget akak kamu tiba-tiba datang. Kalau akak tak ada kat rumah tadi kesian kat kamu tak ada orang nak sambut kamu?", sahut k.Jan penuh semangat.

" Apa hajat kamu datang rumah akak malam-malam ni, akak tengok muka kamu pucat ja,kenapa ni?", sambung k.Jan kebingungan.

" Asif ganggu akak malam-malam ni, Maya tak ada apa-apa la cuma Maya nak minta nasihat akak atas satu hal".

"Ish macam berat ja masalah kamu ni? ok...ok.. kamu bagitahu akak masalah kamu, insyaAllah kalau akak dapat bantu kamu, akak akan sedaya upaya lakukannya, tetapi sekiranya akak tak mampu, akak boleh menjadi pendengar yang baik bagi kamu untuk meluahkan masalah kamu itu".

"Syukran akak kerana sudi mendengarnya, begini......".

Maya meneruskan mutiara kata-katanya dengan saat perkenalannya dengan Yasir sehinggalah kepada kuliah maghrib yang diberikan oleh Ust Amin.

"Alhamdulillah Maya, Allah masih memberikan kesempatan kepada Maya supaya tidak jauh tersesat seperti orang lain yang masih hangat dengan cinta manusia", sambung k.Jan setelah mendengar luahan hati Maya.

"Apa yang Maya harus lakukan akak?", tanya Maya sambil menyapu mutiara di pipi dalam suara sedu sedan menahan hati yang bengkak dek kerana penyesalannya.

"InsyaAllah, akak akan membantu kamu, tetapi sebelum itu untuk menguatkan dirimu izinkan akak memberi sedikit nasihat kepada kamu agar kamu tidak lagi terjebak ke dalam lembah yang hina ini. Ini juga untuk peringatan diri akak sebagai hamba yang mengharap pertolongan Allah".

"Maya tak kisah akak, sekiranya seribu nasihat pun akak mahu berikan kepada Maya, Maya bersedia untuk mendengarnya", sambung Maya dalam esak tangisan.

" Adakah sanggup kita berfikir tentang cinta, sedangkan ramai diantara saudara-saudara kita ditindas oleh Israil?, merasa banggakah kita dengan cowok, gewe masing-masing sedangkan Amerika giat melakukan serangannya terhadap kita melalui hati?. tegas k.Jan dalam kata-katanya.

" Akak hanya boleh bagi pandangan kepada kamu, terpulanglah kalau kamu mahu ikut ataupun tidak, akak doakan kamu agar kamu tabah menghadapi semua ini".

" Apa yang akak mahu cadangkan tu", tanya Maya penuh minat".

" Begini, kamu mahu memutuskan hubungan yang tidak elok ini dengan dia, cadangan akak yang pertama,kamu telefon dia dan luahkan apa yang tersirat di dalam hati. akak rasa dia akan faham sekiranya kamu mahu memutuskan hubungan ini secara baik dan mengikut syariat kerana dia juga belajar agama. Kamu slow talk dengan dia agar tidak timbul salah faham antara kamu berdua.. Cadangan akak yang kedua, kamu tukar kad sim kamu, moga-moga dengan berbuat demikian kamu dapat elakkan diri dari dia".

Ting....Tong...Ting...Tong. Jam dinding di bilik k.Jan berbunyi menandakan sudah pukul 11 malam, Maya rasakan baru sebentar dia meluahkan apa yang tersirat di dalam hatinya tetapi sudah lewat begini rupanya.. Maya bergegas bangun untuk meminta diri kepada k.Jan agar nanti dia tidak terlewat untuk pulang ke biliknya.

" Syukran akak atas nasihat dan cadangan akak, insyaAllah saya tetap dengan pendirian saya atas jalan yang Allah tunjukkan kepada saya, akak tolong doakan bagi saya kuat menghadapi semua dugaan ini".

"InsyaAllah sayang, akak cuma berkongsi apa yang akak mampu".

" Baiklah akak, Maya nak balik bilik ni, nanti lewat pula, Assalamualaikum.

"Waalaikumussalam"

Maya membesarkan langkahan kakinya agar dia tidak terlewat sampai ke bilik.Malam itu selepas bertasbih, membaca ayat kursi, membaca 3 kul dan disambung dengan doa tidur seperti yang Rasulullah ajarkan kepada Aisyah isterinya, Maya tidur dengan memikirkan cara yang terbaik yang perlu dia lakukan bagi menghadapi ujian esok hari.


Bersambung...



Sabtu, 8 Januari 2011

Sina'Atul Faqih Alijtima'i


Program Sina'atul Faqih anjuran Jabatan Syariah kolaborasi dengan PERISYA (Persatuan Syariah dan Pentadbiran Islam) telah membawa Syeikh Fahmi Zamzam, seorang ulama alam melayu yang berguru dengan ramai tokoh-tokoh ulama dunia seperti Syeikh Hasan Ali al-Nadwi, Syeikh Alawi al-Maliki yang menganugerahkan gelaran keluarga al-Maliki kepada beliau.

Abu Laits rhm menyatakan : orang yang duduk bersama ulama tetapi tidak dapat mengingati ilmunya akan juga mendapat 7 kemuliaan-

1- kemuliaan orang belajar
2- tertahan daripada melakukan dosa selama ia duduk bersamanya
3- rahmat Allah mencurah ketika ia pergi menuju kepadanya
4- mendapat keberuntungan apabila dapat bersamanya
5- dicatatkan baginya pahala-kebaikan apabila mendengar ajaran-ajarannya
6- malaikat menaungi dengan sayapnya kerana redha kepadanya
7- tiap langkahnya ditulis pahala-kebaikan, dihapuskan dosa dan dinaikkan darjat.

Kemudian akan ditambah dengan 6 kemuliaan lagi -


1- jadi suka kepada majlis ilmu
2- kalau ada yang menurutinya, akan mendapat pahala-kebaikan orang tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang menurutinya
3- bila ulama itu diampunkan Allah, ia menjadi syafaat buat murid
4- hatinya tawar untuk berkawan dengan orang fasiq
5- termasuk dalam golongan penuntut ilmu dan orang soleh
6- menegakkan perintah Allah.

Ini kalau tak ingat, kalau ingat lebih lagi la.

Maka Syeikh telah mengijazahkan sanad hadis 40 bersambung hingga kepada Imam al-Nawawi rhm. Selain itu, syeikh mengijazahkan sanad amalan-amalan yang dihimpunkan dalam kitabnya Bekal Akhirat.

Antara yang terkandung di dalamnya ialah amalan Yasin, Hizb al-Bahr, Hizb Imam al-Nawawi, solawat2 termasuk Solawat Azimiyyah yang menjadi solawat teras al-dandarawiyyah, awrad lepas solat yang juga dikenali sebagai awrad madaniyyah atau tariqah Qusyasyiah dan juga ratib al-Haddad.

Selain memberi syarah kepada doa Yasin yang disusun oleh Syeikh Abdullah al-Haddad. Berkat guru dan sanad tadi, inshaAllah akan dapat dimanfaatkan untuk anak2 dan students nanti.

Walaupun ummu hanya mampu melihat syeikh dari jauh tetapi InsyaAllah moga-moga berkat daripada melihat syeikh dapat menyelinap masuk ke dalam sanubari.

Klik

Jumaat, 7 Januari 2011

Stokin koko VS stokin hitam

Kisah ini berlaku di pasaraya MYDIN,Terengganu...

Stokin koko : "Eh..eh ada pelanggan mai nak beli stokin nih, em nak buat lawa sikit la"

Stokin hitam : "Ermmmmmm, kenapa la aku dari bulan lepas dok sini lepas turun dari lori, tak dak orang pon nak ambik aku", "aku tak lawa ka?".

Stokin koko : "terima ja la pak tam oi, hang tu dah memang hitam mana ada orang nak tengok, lain la kalau aku ni warna cantik memikat lagi,hehe..

Stokin hitam : "hang tu ada kecantikkan ja, aku ni walaupun tak cantik, aku jaga aurat tuan aku"

Stokin koko : "hey pak tam, hang jangan dok kutuk aku ha, aku tibai satgi baru hang tau. Sapa kata aku tak jaga aurat tuan aku hah? habaq mai kat aku".

Stokin hitam : "hari tu ada sorang budak perempuan nih dia belek-belek badan aku, pastu dia kata 'stokin hitam gelap, boleh tutup aurat aku dengan sempurna, jadi aku ambik warna hitam la', ha tu buktinya".

Stokin koko : "eleh berlagak hang ni, kalau ramai yang kata lagu tu awat kawan-kawan aku depa beli habis tapi kawan-kawan hang dok tang tu la tak p mana-mana pon..Hahaha." aku pon tutup aurat dengan sempurna pa".

Stokin hitam : "memang la hang tutup aurat tapi sempurna ka? warna hang kan sama dengan warna kulit tuan hang, jadi kalau tutup pon nampak macam kulit dia la bukan nampak hang pon, jadi tak da makna la hang dok situ kalau orang tak nampak hang".

Stokin koko : " biar la orang tak nampak aku janji tuan aku suka kat aku"

Stokin hitam : " memang la tuan hang suka kat hang dah hang tak dak makna kat kulit dia,Islam suruh tutup aurat kaki, depa ingat dah memadai la pakai hang yang sama warna dengan kulit depa. Tapi depa tak tau kalau pakai hang tu tak dak maknanya.

Stokin koko : "betul ka pa yang hang cakap ni?, aku tak rasa pon macam tu. Hang saja tak mau bagi orang beli aku noh".

Stokin hitam : "bukan macam tu, tapi aku habaq pa yang betoi. ramai depa ingat hang dah tutup aurat depa tapi realitinya orang lain nampak macam kaki depa ja.

Stokin koko : "habistu macam mana aku nak buat?".

Stokin hitam : "hang tak perlu buat pa, tapi tuan hang tu yang kena sedaq yang hang tu tak tutup aurat depa, kita doa ja la bagi depa tu sedaq.

Stokin koko : "amin.........amin.............amin.... thank kayu la hang dah habaq kat aku, kalau dak sampai orang beli aku,aku tak tau pasal ni.

Stokin hitam : " sama-sama, (Berpesan-pesan untuk kebenaran dan berpesan-pesan untuk kesabaran)

p/s : bagi yang tidak memahami bahasa utara silalah bertanya kepada sahabat-sahabat anda..


Ummu yusra
1432H

Khamis, 6 Januari 2011

Banjir, hujan dan dosa

Jabatan Syariah dengan kerjasama Pusat Islam unisza dan kelab perisya telah mengadakan program "Sina 'Atul Faqih Al-Ijtima'i" pada 6/1/2011 yang mengambil masa 3 hari till hari sabtu..Tentatif program kebanyakannya berkaitan dengan ceramah.

Berbalik kepada tajuk yang diutarakan oleh penulis, kaitan diantara banjir, hujan dan dosa.. Mungkin ianya hanya berkaitan dengan sesetengah pihak dan mungkin juga berkaitan dengan semua pihak kedepannya.

Banjir di unisza baru menjengahkan mukanya ke kawasan sekitar bermula petang tadi 6/1/2011. Pelajar-pelajar syu'bah syariah diminta untuk berkumpul di hadapan foyer asrama bagi menaiki bas ke masjid unisza untuk mengikuti program memandangkan hari hujan.. Penulis agak kelewatan turun dari bilik disebabkan hal yang tertentu. Bila tiba masanya penulis mahu bergerak dari blok ke foyer, maka bertebaranlah dosa yang penulis nampak. Berdua-duaan lelaki dan perempuan dan yang paling mengejutkan penulis adalah budak pengajian Islam tidak memakai stokin, bila ditanya katanya takut basah. Soalan mudah so jawapannya pasti simple. Tetapi fikirkah kamu bahawa ada lagi yang akan bertanya kepada kamu tentang perkara itu kemudian nanti???

Perjalanan agak jauh dari blok ke foyer, setiap kali penulis melangkah ada sahaja kaki-kaki yang dilihat tidak sempurna tentang auratnya.. Hajat dihati mahu menegur(Ya Allah sungguh susah untuk buat makruf, tetapi ku tahu balasanmu lebih tinggi dari kesusahan itu).Penulis akan menegur tetapi dengan cara penulis sendiri.InsyaAllah.

Sampai di foyer pejabat asrama semua sibuk keluarkan stokin untuk dipakai kerana katanya ada muslimin, dalam perjalanan tadi semua muslimin yang ditemui cacat penglihatan agaknya?? Yang sedar akan auratnya walau terlambat Alhamdulillah tetapi masih ada lagi yang bermegah dengan aurat mereka.

Alhamdulillah semuanya selamat sampai di masjid unisza setelah 4 biji bas disediakan dipenuhi.. Program bermula dengan Majlis penganugerahan sanad hadis 40 oleh Syeikh Fahmi Zam-zam, diikuti dengan forum dan sebagainya. Majlis untuk hari pertama tamat kira-kira jam 10.30 malam.Penulis tidak mahu panjangkan tentang program kerana yang dikisahkan sekarang adalah tentang banjir, hujan dan dosa.

Setelah selamat sampai kembali ke foyer asrama, penulis terpandang akan gelagat pelajar pengajian Islam yang amat memalukan, berpayung bersama. Yang lelaki membawa payung yang perempuan berada dihadapan, tiba-tiba si lelaki mengisyaratkan kepada si perempuan untuk bersama-samanya di bawah payung. Husnuzon juga kepada mereka dengan berkata "suami dia agaknya" tetapi apabila dilihat si perempuan, sah bukan suaminya sebab kakak tu senior penulis yang masih belum kahwin(rujukan sahih)

"Kita manusia fitrahnya berbuat dosa dan sebaik-baik manusia adalah bertaubat diatas kesalahan"


ummu yusra
1432H

Sabtu, 1 Januari 2011

Saat perkenalanku dengan dia/Dia

Cerita ini adalah adaptasi dari kisah realiti kehidupan seorang sahabat yang akhirnya mendapat hidayah dari yang Maha Esa..nama-nama yang dinyatakan bukanlah nama sebenar.

Tahun 2007 Bulan 7

1 miss call
013-4........
"ish sapa plak nih, em miskol balik la,tapi malas la",kata maya, akhirnya miss call yang tadinya mengganggunya tidak dihiraukan."erm set nama dia 'hantu' la" sambung maya.

Bulan 11

Selepas beberapa bulan mesej itu tidak dilayan, akhirnya bila tiba malam raya, Maya sibuk menghantar mesej kepada semua sahabat-sahabatnya. Tanpa disedari Maya telah menghantar mesej kepada 'hantu'.

1 massage receive
'hantu'
Assalamualaikum, awak sapa?. mesej yang pendek tetapi memberi makna yang mendalam bagi Maya, Maya cuba mengingati kembali hamba Allah yang mana diberikan nama 'hantu' olehnya, akhirnya Maya teringat akn satu miskol yang mengganggunya dahulu


w'salam, awak yang miskol saya dulu kan, tapi dah lama n saya tersalah send yang sebetulnya.
massage send!

Maya membalas mesej bagi memuaskan hati 'hantu' tersebut. Maka bermulalah perkenalan antara "hantu" dan Maya.. Maya mendapat tahu bahawa 'hantu' sedang menadah kitab di pesantren yang berdekatan dengan tempat tinggalnya. Setelah dicucuk oleh syaitan maka Maya merasa bangga berkawan dengan 'hantu' yang dikira dapat membimbingnya dalam soal agama. Maya juga mendapat tahu bahawa 'hantu' tinggal satu negeri dengannya.

Hari demi hari mesej berunsurkan tazkirah dan peringatan yang dihantar, dalam masa yang sama terselit juga mesej-mesej pertanyaan khabar dan ayat jiwang. Setelah beberapa bulan bermesej 'hantu' yang diberi nama yasir mahu serius dalam perhubungan mereka. Sampaikan yasir mahu berjumpa dengan mak ayah Maya tetapi Maya menghalangnya kerana ketika itu baru berumur 17 tahun dan mahu mengambil peperiksaan SPM. Yasir mengalah dan memberi peluang kepada Maya, tindakan yasir membuatkan Maya menganggap yasir seorang yang memahami.

Walaupun begitu Maya dan Yasir tidak putus hubungan malah setiap hari bermesej dan kadang-kadang bercakap melalui telefon. Oleh kerana Maya dan Yasir mempunyai didikan agama mereka mengambil keputusan tidak mahu berjumpa kerana takut timbul fitnah. Setelah berbulan-bulan hubungan mereka begitu malah lebih erat lagi, Maya mendapat tawaran belajar di IPTA di dalam negara tetapi negeri yang berbeza. Kegembiraan itu dikongsi dengan Yasir tetapi Yasir keberatan untuk membenarkan Maya pergi, katanya"kita bertunang dulu, lepastu baru Maya boleh pergi", tetapi hasrat Maya ditentang keluarganya kerana masih muda dan ibu dan ayah Maya menetapkan lepas diploma baru boleh bertunang. Maya dan Yasir akur dengan keputusan itu.

Setelah seminggu Maya berada di Universiti dan melepasi fasa minggu orentasi, tergerak di hati Maya untuk melangkahkan kakinya ke surau yang berdekatan dengan blok asramanya. Alhamdulillah setelah selesai menunaikan solat mangrib, ajk surau meminta tetamu Allah untuk terus berada di disurau kerana salah seorang student ingin memberikan kuliah maghrib.

"erm dah lama aku tak dengar kuliah maghrib lepas beberapa bulan aku tinggalkan sekolah, ok juga aku duduk dan dengar kuliah ni, mana tahu best ka", bisik Maya didalam hati

Pentazkirah membuka majlis dengan selawat, ayat quran, hadis dll membuatkan hati Maya tertaut untuk terus duduk dan mendengar." Alhamdulillah tajuk kita malam ini berkaitan dengan cinta", kata pentazkirah yang menggelar dirinya Amin

Air mata Maya jatuh berguguran malah membasahi kain telekung yang dipakainya mendengar kuliah yang diberikan. "sekiranya kita menyayangi pasangan kita dan mahu hidup dengan berkat didunia akhirat mengapa kita mengheretnya ke neraka", kata ustaz Amin, jelasnya lagi, "kalau kita betul-betul sayangkan dia, kita tidak akan melanggar perintah Allah untuk terus bergaul antara lelaki dan wanita tanpa ikatan yang sah","tidak berhubung tanpa orang yang wara' disisi", tambah ustaz Amin sebagai penegasan.

Bersambung...


Pesanan buat sahabat sekuliah

Sesi perkuliah bagi pelajar UNiSZA akan bermula pada hari isnin bersamaan dengan 02/01/2011..Pengalaman dari sem-sem lepas menarik minat penulis untuk menulis satu artikel berkenaan ikhtilat diantara muslimin dan muslimat.

Pesanan ini ditujukan khas buat diri sendiri dan juga sahabat-sahabat yang dihormati."Berpesan-pesan untuk kebenaran dan berpesan-pesan untuk kesabaran"(1)..


Apabila muslimin dan muslimat berjumpa atas tujuan yang tertentu mengapa kawan yang diajak untuk menemani muslimat selalu menjauhkan diri dari dua orang yang berjumpa..sedangkan yang diajak untuk menjadi peneman itu adalah untuk mengelakkan fitnah berlaku. Walaupun dibawa peneman tetapi orang yang sangggup menjadi peneman tidak melaksanakan amanah dengan sebaiknya, tidakkah dia juga dikira berdosa sekiranya dua orang yang berjumpa itu mempunyai niat lain.

"Erm malu nak duduk sama-sama nanti muslimin kata kita menyibuk pula",kata si fulan..Ya memang malu perisai orang yang beriman tetapi malu ada tempatnya, kepentingan yang perlu dititik beratkan.Mahu jaga sahabat kita dari di fitnah atau mahu jaga status diri sendiri?fikir-fikirkanlah.

Perubahan sikap seseorang mengikut persekitaran bagaikan sesumpah menukar dirinya mengikut persekitaran bagi mengelak musuh..Maksud penulis, mengapa perlu hipokrik, apabila di dalam kelas semua tunduk sehinggakan semut pun naik segan nak jalan. Tetapi berbeza pula di luar kuliah.situasi> "hoi kata nak belanja aku makan tadi, aku tunggu na, janji tetap janji",kata muslimat. "aku lawak ja la jangan la serius sangat", sahut muslimin. Mengapa, mengapa dan mengapa?? Bagaikan selapis sikap malu sudah tercabut dari diri samada muslimin mahupun muslimat.

tut,tut
1massage receive
Salam, erm anta/ti buat pa tu? dah makan ka?, mesej yang sia-sia(bagi penulis), bagi yang kononnya menjaga ikhtilat antara muslimin dan muslimat ini pula caranya, nafsu membuak-buak, meronta-ronta mencari orang untuk menyayangi diri, mengapa tidak mengikut sunnah nabi??


*situasi-situasi yang ditulis tidak ada kena mengena dengan sahabat-sahabat sekuliah penulis, cuma merupakan imaginasi penulis ilham dari pengalaman persekitaran, moga-moga perkara sebegini dapat dielakkan daripada menjadi realiti.amin

Hayatilah wahai sahabat

Dengarkan kerinduan di lautan memori
Mengintai kenangan indah
Yang menyentuh emosi
Masih segar diingatan
Hadirmu bawa sinar cahaya impian

Sahabat,
Kau sesungguhnya
Temanku dikala suka & lara

Tikaku buntu diselubungi sendu
Kau tiupkan ketabahan
Untukku ku ukir senyuman
Bagaikan embun hilang di terbit fajar
Kau pergi jauh mengejar cita
Menggapai redha yang Esa

Duhai sahabat dengarkanlah
bicara hatiku ini,
Meskipun jarak memisahkan
namun tiada noktah kasih,
Biar lama ku menentukan
nilai ukhuwwah yang terjalin,
Teruskan perjuangan
ke titisan darah terakhir

Dan aku,
masih disini terus mendaki
puncak tertinggi hidupku...
Dan aku,
terus menanti saat yang manis
akan berulang kembali...
SAHABAT...

(1)Al-'Asr


ummu yusra

Halaman

Umurku bertambah,Dekatlah kematian

Lilypie Kids Birthday tickers