Ahad, 23 Januari 2011

Bagaimana Bersuci Bagi Pesakit Yang Berbalut Anggotanya?

Seorang isteri yang solehah telah menelefon suaminya bagi menyelesaikan satu permasalahan hukum Fikah berkaitan dengan wudhuk dan mandi bagi seseorang yang berbalut anggota badannya. Ikuti perbincangan mereka berdua :

Ummu Muhammad : Assalamualaikum abang.

Abu Muhammad : Waalaikumussalam sayangku ( sambil tertawa kecil ).

Ummu Muhammad : Abang, saya ingin menyampaikan hajat seorang sahabat yang ingin mendapat penjelasan hukum daripada abang berkenaan dengan hukum berwudhuk dan mandi wajib bagi seseorang yang berbalut anggota badannya.

Abu Muhammad : Oh begitu. Sebelum itu sebaiknya sayang bertanya dulu kepada sahabat tersebut adakah bermasalah jika dia membuka balutan tersebut atau tidak? Jika bermasalah dan akan menimbulkan mudharat maka tidak perlu bagi dia membuka balutan tersebut. Namun jika tidak bermasalah, maka wajib baginya untuk membuka balutan tersebut.

Ummu Muhammad : Nanti saya akan tanyakan ye abang. Cuma kalau dia tidak dapat membuka balutan tersebut bagaimanakah caranya untuk dia berwudhuk dan mandi?

Abu Muhammad : Baik, abang akan terangkan dulu cara bagaimana untuk sahabat sayang berwudhuk. Caranya mudah sahaja. Sebelum itu abang ingin bertanya, bahagian anggota badan yang mana yang berbalut itu?

Ummu Muhammad : Bahagian kaki kanan.

Abu Muhammad : Semoga Allah taala akan menyembuhkan dengan segera kaki tersebut. Cara berwudhuk bagi sahabat tersebut adalah seperti biasa iaitu dengan memulakan niat berwudhuk kemudian membasuh muka, membasuh kedua tangan dan membasuh kepala. Bilamana sampai di kaki kanannya maka dia perlu bertayammum bagi menggantikan anggota yang berbalut tersebut. Cara bertayammum adalah seperti biasa iaitu dengan menyapu muka dan tangan sehingga ke siku dengan tanah yang suci. Setelah selesai bertayammum maka dia perlu membasuh anggota kaki yang tidak berbalut dan jangan lupa untuk menyapu air di atas tempat yang berbalut tersebut. Selesai perkara tersebut barulah dia dibenarkan untuk membasuh kaki kirinya bagi menyelesaikan wudhuk.

Ummu Muhammad : Oh begitu ya. Cuma tadi abang ada katakan bahawa setelah bertayammum maka pesakit tersebut perlu membasuh anggota yang tidak berbalut dan menyapu di atas bahagian yang berbalut tersebut. Bagaimana gambarannya ya?

Abu Muhammad : Begini contohnya jika yang patah itu adalah bahagian tumitnya. Maka jika bahagian yang berbalut itu adalah bahagian tumit sahaja , wajib bagi pesakit tersebut untuk membasuh bahagian yang tidak berbalut seperti jari kaki dan tapak kakinya yang tidak berbalut dan kemudian menyapu air di atas balutan tumit tersebut.

Ummu Muhammad : Tetapi abang, kebanyakkan hospital pada zaman sekarang akan membalut lebih daripada bahagian yang patah. Kalau bahagian yang patah tersebut adalah tumit, yang dibalutnya adalah seluruh kaki tersebut.

Abu Muhammad : Iya tak ya juga .. hehe.. Maka jika keadaan sebegini , apa yang perlu bagi si pesakit tersebut adalah dengan bertayammum seperti yang diterangkan sebelum ini dan kemudian menyapu di atas kaki yang berbalut tersebut dengan air.

Ummu Muhammad : Oh begitu. Kemudian abang, bagaimana pula caranya untuk mandi wajib?

Abu Muhammad : Caranya juga mudah. Ambil air dan tuangkan di atas kepala . hehe.. Bergurau sahaja. Pesakit tersebut boleh memilih sama ada ingin mendahulukan mandi atau bertayammum. Afdhalnya( yang terbaik ) seperti yang diterangkan oleh para ulama ialah dengan mendahulukan tayammum bagi menggantikan tempat yang berbalut tadi. Kemudian mandi seperti biasa. Jika bahagian yang berbalut tersebut .

Ummu Muhammad : Boleh abang terangkan , adakah perlu bagi pesakit tersebut untuk mengulangi semula berwudhuk jika dia ingin menunaikan solat fardhu yang lain selepas itu?

Abu Muhammad : Bagus soalan ini. Jika si pesakit telah berwudhuk untuk menunaikan solat pada waktu zohor. Bilamana masuk waktu asar wudhuknya masih lagi kekal dan tidak batal. Maka apa yang perlu baginya ialah hanya bertayammum. Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi al-Imam al-Nawawi rahimahullah. Ini bermaksud selagi mana dia tidak melakukan perkara yang membatalkan wudhuk maka setiap kali masuk waktu solat yang baru samada asar, maghrib atau isya’ , apa yang perlu dilakukan olehnya hanyalah bertayammum sahaja dan tidak perlu mengulangi wudhuknya. Tetapi jika wudhuknya telah batal, maka wajib baginya mengulangi sepertimana yang diterangkan sebelum ini.

Ummu Muhammad : Begitu caranya ye. Bagaimana pula dengan permasalahan qada’ bagi solat pesakit tersebut setelah dia sihat kelak? Adakah perlu baginya untuk menggantikan semula solatnya setelah dia sihat?

Abu Muhammad : Permasalahan ini agak terperinci. Perlu bagi sayang untuk memahaminya dengan baik.

Pertama : Perlu dilihat sama ada pembalut tersebut dibalut pada anggota tayammum atau tidak. Anggota tayammum adalah muka dan kedua tangan sampai ke siku. Jika bahagian balutan tersebut adalah pada anggota tayammum, maka wajib bagi pesakit tersebut untuk mengulangi atau menggantikan semula solatnya setelah sihat kelak.

Kedua: Jika pembalut tersebut bukan pada anggota tayammum iaitu selain daripada muka dan tapak tangan maka perlu diperhatikan sama ada yang berbalut tersebut adakah sekadar kawasan luka atau melebihi kawasan luka.

Jika kawasan yang berbalut tersebut hanya sekadar kawasan yang luka atau patah, maka wajib bagi pesakit tersebut untuk membasuh bahagian yang tidak berbalut dan bertayammum bagi menggantikan kawasan yang luka dan disunatkan bagi pesakit untuk menyapu di atas kawasan berbalut tersebut dengan tanah. Jika begini keadaannya , maka pesakit tersebut tidak perlu menggantikan atau mengulang semula solatnya setelah dia sihat kelak.

Manakala jika kawasan yang berbalut tersebut adalah melebihi kawasan yang luka atau patah, seperti keadaan yang berlaku kepada sahabat yang sayang ceritakan kepada abang, maka ada dua gambaran yang boleh kita berikan :

Pertama: Jika kawasan yang melebihi tersebut adalah sekadar untuk menguatkan pegangan balutan tersebut , dan sebelum diletakkan balutan tadi pesakit telah bersuci iaitu dengan berwudhuk, maka di dalam keadaan ini pesakit tersebut tidak perlu untuk mengulang atau menggantikan semula solatnya setelah dia sihat kelak. Tetapi jika diletakkan balutan tersebut dalam keadaan pesakit tadi tidak berwudhuk terlebih dahulu maka wajib baginya untuk mengulangi atau menggantikan semula solatnya setelah dia sihat kelak.

Kedua : Jika kawasan balutan itu melebihi kadarnya , contohnya seperti bahagian yang patah hanyalah ibu jari kaki, manakala yang dibalut dengan simen adalah sampai ke betisnya. Maka ini dikira melebihi kadar yang sepatutnya. Jika begini keadaannya, maka pesakit tersebut wajib mengulangi atau menggantikan semula solatnya selepas sihat kelak sama ada simen tersebut diletakkan setelah dia berwudhuk atau tidak.

Namun, abang lebih suka untuk mengambil pandangan al-Imam al-Nawawi rahimahullah yang mana beliau juga mengambil pandangan al-Imam al-Muzani rahimahullah yang mengatakan bahawa orang yang dibalut anggotanya tidak perlu untuk mengulangi semula solatnya walau bagaimana keadaan sekalipun pesakit tersebut.

Ummu Muhammad : MasyaAllah, mudahnya Islam kan bang?

Abu Muhammad : Ya, Islam itu mudah sekali untuk diamalkan, namun yang sukarnya adalah bagi mengeluarkan hukum yang terdapat di dalamnya. Oleh sebab itulah kita perlu berpegang dengan pandangan para ulama yang memahami bagaimana cara mengeluarkan hukum daripada nasnya.

Ummu Muhammad : A’a bang, ramai sangat zaman sekarang nie yang menyalahgunakan istilah “ Islam itu mudah” dengan mengatakan bahawa mengeluarkan hukum di dalam Islam juga mudah. Sedangkan maksud sebenar Islam itu mudah ialah mudah untuk diamalkan kerana wujudnya para ulama ummah yang bertungkus lumus memahamkan ummah hukum hakam agama. Semoga ilmu abang akan semakin bertambah dan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabb.

Abu Muhammad : Amin Ya Rabb. Jaga diri baik-baik sayangku. Assalamualaikum.

Ummu Muhammad : Waalaikumussalam abang.

p/s: Dialog di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati. Sekadar untuk memudahkan kefahaman kita bersama.hehe.

Rujukan:

1. Taqrirat Sadidah Fi Masa’il Mufidah oleh al-Syaikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf , Cetakan ke 4 tahun 2006 Darul al-Mirath al-Nabawi

2. Mughni al-Muhtaj oleh al-Imam al-Allamah Syamsuddin Muhammad bin Khatib al-Syirbini rahimahullah , Juzuk 1, Darul Makrifah Beirut

3. Mawahib al-Somad Fi Halli Alfadz al-Zubad oleh al-Imam al-Allamah Ahmad bin Hijazi al-Fashni rahimahullah , cetakan Darul Basyair al-Islamiyah dan Maktabah Darul Fajr.


KLIK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Halaman

Umurku bertambah,Dekatlah kematian

Lilypie Kids Birthday tickers